Thursday, 12 July 2012

Jauhi sifat SOMBONG

Kenapa perlu sombong? Sombong kerana merasakan diri itu lebih tinggi darjatnya atau merasakan diri itu lebih sempurna dari orang lain? Kenapa perlu bersifat sedemikian di dunia yang hanya bersifat sementara? Semuanya milik Allah S.W.T. Harta kekayaan, kecantikan, dan pangkat yang tinggi itu semuanya hanya dipinjamkan oleh Allah S.W.T untuk kita di dunia dan bila-bila masa Allah boleh tarik balik.

Kita kena ingat kesenangan ini juga satu ujian. Allah sedang menguji hamba-Nya yang berada dalam kesenangan itu akan tetap berada di jalan-Nya atau lalai dengan dunia. Kesenangan ini perlulah digunakan dengan cara yang betul bukan dengan perbuatan maksiat yang melalaikan. Tetapi kenapa kita terlalu bangga akan harta yang dipinjamkan oleh Allah sehingga bersifat sombong? Bukankah kita diminta hidup secara bersederhana? Bersederhana digambarkan seseorang bersifat merendah diri, mudah didampingi dan berperwatakan sederhana. Ketahuilah bahawa perkara terbaik adalah yang bersederhana. "Celakalah orang yang berlebih-lebihan". Sebagaimana perkara yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W sebanyak tiga kali. (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah mengatakan jika di dalam hati seseorang mempunyai hati yang sombong walau sebesar biji sawi dia diharamkan kakinya ke Syurga. Nauzubillah moga-moga kita dijauhkan dari sifat sombong ini. Walaupun anda berpangkat besar, mempunyai harta yang banyak bersifatlah merendah diri agar diri ini diredhai ke jalan Allah dan disenangi orang sekeliling. Di mata Allah semua manusia sama sahaja dan yang paling penting hati. Hati itu perlu sentiasa bersih. Oleh itu, jauhkan segala perkara keji yang boleh merosakkan hati.

No comments:

Post a Comment