Friday, 13 July 2012

Bersangka baik

Dalam hidup ini sering sahaja kita bersangka terhadap apa yang berlaku di sekeliling kehidupan kita seharian. Pelbagai sangkaan yang bermain di fikiran kita. Antara sangkaan baik atau buruk. Sangkaan yang bermain di fikiran kita ada kalanya memberi impak yang negatif mahupun positif. Ianya mengikut apa yang kita sangka, adakah kita bersangka baik atau buruk?

Cuba ambil masa seketika berfikir dalam hidup ini selalunya kita selalu berfikiran baik atau buruk? Yang mana selalu kita amalkan. Jika hendak hidup yang positif dan bahagia bersangka baiklah terhadap apa sahaja yang berlaku dalam hidup ini. Paling penting bersangka baik terhadap Allah S.W.T. Kerana apa yang anda menyangkakan itulah yang bakal berlaku terhadap hidup anda.

Allah SWT berfirman:
"Aku akan bersama (mengikut) sangkaan hamba-hambaKu. Maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan"
(Hadis Qudsi Riwayat At-Thabrani)

Ada kalanya agak sukar untuk kita bersangka baik terhadap orang. Selalunya ada sahaja pelbagai prasangka yang buruk terhadap orang bermain di minda kita. Bukanlah hak kita untuk bersangka buruk dan memburukkan seseorang itu dengan hanya melihat dari segi fizikalnya sahaja. Hak untuk menilai seseorang itu hanya terletak pada Allah. Hanya Allah yang berhak menilai seseorang kerana Dialah yang mengetahui setiap hambanya dari dalam sehingga luar dan apa yang kita tidak nampak. Hak kita hanya bersangka baik kerana itu yang terbaik.

Tiada seorang pun manusia yang sempurna di dunia ini. Kita sendiri juga perlu banyak memperbaiki apa yang patut dalam diri kita dari masa ke masa. Jika seseorang itu melakukan perkara yang tidak patut seharusnya kita janganlah mudah bersangka buruk tetapi mengambil itu sebagai pengajaran untuk kita menjadi lebih baik, baik di mata manusia mahupun di mata Allah S.W.T. Bersangka baiklah kerana semuanya akan baik sahaja. InsyaaAllah..

No comments:

Post a Comment