Sebagai seorang muslim kita mestilah mempunyai matlamat hidup. Hidup tanpa matlamat umpama kapal tanpa nakhoda, hanyut di tengah lautan. Terumbang-ambing dipukul arus dan gelombang kehidupan. Jika bernasib baik, terdamparlah ia di tepian, jika nasibnya malang, maka hanyutlah ia dan terus dipukul ombak dan badai yang akhirnya akan karam. Setiap perkara yang dilakukan mestilah mempunyai matlamat yang tersendiri. Matlamat itu mestilah berlandaskan agama kita iaitu agama Allah. Apa yang kita lakukan mestilah kerana Allah supaya diberkati dan diredhai oleh-Nya atas setiap apa yang kita kerjakan.
Cuba fikirkan sejenak apa yang kita lakukan sepanjang hidup ini memberi manfaat untuk kita di dunia sahaja atau di dunia dan akhirat? Tanya pada diri untuk apa kita hidup di muka bumi milik Allah ini? Kita janganlah terlalu mengejar akan harta dunia yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada kita. Kejarlah akan harta untuk kita buat bekalan di akhirat nanti. Harta untuk dibawa ke akhirat kelak ialah perbuatan yang baik iaitu mengikut segala perintah Allah dan menjauhkan perkara yang dilarangNya. Kenapa terlalu sukar bagi kita untuk berbuat demikian?
Sebagai contohnya situasi, setiap masa kita sibuk mengerjakan kerja hingga lupa akan Allah. Untuk apa kita lakukan semua itu tapi kita lupa akan Dia? Padahal yang menurunkan rezeki untuk kita adalah Allah Taala. Tapi kita langsung tidak bersyukur atau berterima kasih kepadaNya. Malah kita lupa kepadaNya. Buat apa hanya kaya di dunia tapi miskin di akhirat. Tahulah anda setiap perbuatan yang anda lakukan yang bukan di jalan Allah adalah sia-sia dan anda tidak memperolehi apa-apa pun. Maka dengan ini setiap apa yang kita lakukan mestilah kerana Allah S.W.T.
Kesimpulannya disini, kita perlulah sedar dan insaflah sebelum terlambat bahawa hidup kita di dunia hanyalah sementara, di akhiratlah kehidupan yang sempurna dan kekal abadi. Disinilah merupakan matlamat hidup yang sebenarnya dan segala amalan soleh di dunia adalah saham yang dapat kita nikmati hasilnya ketika kita di hari akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment