Thursday, 12 July 2012

Berubahlah kerana Allah

Dalam hati masing-masing pasti mempunyai keinginan untuk berubah untuk menjadi manusia yang lebih baik dan berguna. Ini merupakan fitrah manusia. Aku yakin setiap orang ingin berubah dari keburukan ke arah kebaikan. Siapa yang tak nak berubah kan? Yang sedihnya, pelbagai alasan yang sering kita dengar dalam mencapai perubahan dalam diri. Pentingnya keazaman yang tinggi untuk berubah kerana Allah itu perlu ditanam sedalam-dalamnya dalam diri masing-masing. Dengan itu barulah kita boleh berubah dengan baik. Berubahlah perlahan-lahan sehingga mencapai apa yang kita hajatkan. Nasihat aku cara yang paling mudah untuk berubah rujuklah dengan bahan ilmu seperti bahan bacaan, menghadiri majlis-majlis ilmu atau mendengar ceramah di radio atau tv sudah pasti banyak menyedarkan kita tentang kehidupan yang sebenar dan diredhai Allah SWT.

Apabila seseorang itu sudah tekad hendak berubah menjadi lebih baik, Allah telah membukakannya segala kemudahan untuk dia kembali ke jalan yang benar. Allah akan memberinya segala petunjuk serta hidayah yang tak ternilai padanya yang hanya orang yang beruntung sahaja dapat menikmatinya. Tidak semua orang dapat merasakan perasaan begini. Bersyukurlah jika dikurniakan hidayah kepada anda. Tetapi anda perlu ingat hidayah ini bukanlah perlu dinanti, tapi perlu dicari.

Segelintir manusia ada yang masih ragu-ragu, masih mahu berseronok, masih lalai dengan dunia, dan ada juga yang berkata mahu berubah tetapi masih tidak membuat tindakan apa-apa dan sebagainya. Pelbagai alasan diberikan oleh orang yang enggan berubah. Contoh, "Nanti-nanti lah berubah, sekarang muda lagi" hanyalah kata-kata yang dipinjamkan oleh syaitan supaya kita diheret sama oleh mereka ke neraka Allah. Sedarlah, hidup di dunia sangat SINGKAT waktunya. Usia muda tidak bermakna ajal juga masih jauh duduknya. Tidak nampakkah kita dengan bukti-bukti yang telah Allah tunjukkan? Nauzubillah. Jangan tunggu sampai nyawa-nyawa ikan baru nak berubah.

Diakui dengan kehidupan seperti sekarang yang penuh dengan keseronokan yang berlimpah ruah, memang agak sukar untuk kita berubah. Tetapi itu bukan alasan, bukan kita tidak boleh berseronok tapi berseronok itu ada batas-batasnya, jangan terlalu lalai hingga melupakan Allah. Cuma kita perlu ingat ajal ini bakal menjemput kita tanpa mengira anda sudah berubah ataupun belum berubah. Bagaimana kalau kita belum berubah atau belum bertaubat, ajal anda sudah muncul? Fikirkanlah sendiri. Berubah ke jalan Allah kan lebih baik kerana hidup ini diredhai dan diberkati oleh-Nya. Diredhai dan diberkati oleh Allah S.W.T bukan hanya di dunia malah akhirat.

No comments:

Post a Comment