Tuesday, 31 July 2012

Salam Ramadhan


Alhamdulillah sudah masuk hari ke-11 kita berpuasa dan selamat berpuasa diucapkan. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan dalam bulan yang penuh keberkatan ini marilah kita sama-sama memperbaiki diri menjadi muslim yang terbaik di jalan Allah. InsyaaAllah... 

Kesempatan ini saya memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan yang mungkin saya sedar atau tidak sedar dari hujung rambut hingga hujung kaki dan saya juga telah memaafkan setiap perkara yang berlaku atas kehendak Allah ini kerana Allah Taala. Moga-moga hidup ini diberkati dan dirahmati olehNya selalu. Tetapkanlah hati agar sentiasa ingat akan Allah Yang Maha Berkuasa dan ingatlah kita ini hanyalah hamba yang selemah-lemahnya yang hanya bergantung harap pada Allah S.W.T sahaja. 

'O people! The month of Allah with it's Blessing's, Mercy and Forgiveness has come upon you. It's days are the best days, it's nights are the best nights and it's hours are the best hours'

Apa matlamat hidup sebenar anda?

Sebagai seorang muslim kita mestilah mempunyai matlamat hidup. Hidup tanpa matlamat umpama kapal tanpa nakhoda, hanyut di tengah lautan. Terumbang-ambing dipukul arus dan gelombang kehidupan. Jika bernasib baik, terdamparlah ia di tepian, jika nasibnya malang, maka hanyutlah ia dan terus dipukul ombak dan badai yang akhirnya akan karam. Setiap perkara yang dilakukan mestilah mempunyai matlamat yang tersendiri. Matlamat itu mestilah berlandaskan agama kita iaitu agama Allah. Apa yang kita lakukan mestilah kerana Allah supaya diberkati dan diredhai oleh-Nya atas setiap apa yang kita kerjakan.

Cuba fikirkan sejenak apa yang kita lakukan sepanjang hidup ini memberi manfaat untuk kita di dunia sahaja atau di dunia dan akhirat? Tanya pada diri untuk apa kita hidup di muka bumi milik Allah ini? Kita janganlah terlalu mengejar akan harta dunia yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada kita. Kejarlah akan harta untuk kita buat bekalan di akhirat nanti. Harta untuk dibawa ke akhirat kelak ialah perbuatan yang baik iaitu mengikut segala perintah Allah dan menjauhkan perkara yang dilarangNya. Kenapa terlalu sukar bagi kita untuk berbuat demikian?

Sebagai contohnya situasi, setiap masa kita sibuk mengerjakan kerja hingga lupa akan Allah. Untuk apa kita lakukan semua itu tapi kita lupa akan Dia? Padahal yang menurunkan rezeki untuk kita adalah Allah Taala. Tapi kita langsung tidak bersyukur atau berterima kasih kepadaNya. Malah kita lupa kepadaNya. Buat apa hanya kaya di dunia tapi miskin di akhirat. Tahulah anda setiap perbuatan yang anda lakukan yang bukan di jalan Allah adalah sia-sia dan anda tidak memperolehi apa-apa pun. Maka dengan ini setiap apa yang kita lakukan mestilah kerana Allah S.W.T.

Kesimpulannya disini, kita perlulah sedar dan insaflah sebelum terlambat bahawa hidup kita di dunia hanyalah sementara, di akhiratlah kehidupan yang sempurna dan kekal abadi. Disinilah merupakan matlamat hidup yang sebenarnya dan segala amalan soleh di dunia adalah saham yang dapat kita nikmati hasilnya ketika kita di hari akhirat kelak.

Munasabah Diri

Kita sebagai manusia haruslah sentiasa bermunasabah diri dari masa ke semasa. Tujuan kita untuk bermunasabah ini untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik dari sebelum ini. Setiap orang ada kekurangan atau kelemahan masing-masing tetapi dengan bermunasabah kita dapat mengenali kelemahan ini. Maka dengan itu dapatlah kita memperbaiki kelemahan yang ada. Dengan bermunasabah juga kita dapat mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang sama kerana orang muslim yang hebat sentiasa mempertingkatkan kualiti hidup dari masa ke semasa untuk menjadi lebih baik.

Sabda Rasulullah S.A.W bersabda :
"Orang muslim itu tidak akan di patuk ular pada lubang yang sama untuk kali kedua"

Selain itu, dengan bermunasabah boleh mematangkan kita dan menjadikan fikiran kita sentiasa berpositif dan dapat menerima perkara baik atau buruk yang datang dengan beranggapan setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya. Bermunasabah diri juga membolehkan kita menilai setiap perbuatan kita, apakah ianya mencapai matlamat, menghampiri matlamat atau lebih teruk menjauhi matlamat yang kita tetapkan.

Antara kelebihan bermusabah diri adalah;
Dapat mengenali kekurangan diri, maka dengan itu dapatlah kelemahan itu di perbaiki.
Dapat bertaubat, menyesali dan meninggalkan setiap kesalahan yang lepas.
Dapat mengenali hak Allah Taala ke atas diri kita.
Dapat mengenali diri dan mencari diri yang 'hilang'.
Dapat mengelakkan diri dari mengulangi kesalahan yang lepas dan seterusnya mempertingkatkan amalan soleh.
Dapat mempersiapkan diri sebelum bertemu dengan Allah di hari akhirat kelak.

"Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini. - Umar Al-Khattab

Kesimpulannya, sebagai seorang muslim kita seharusnya selalu bermunasabah diri agar dapat memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi diri kita dan lebih-lebih lagi dalam mengerjakan amal ibadah kepada Allah. Semoga hari ini lebih baik dari hari-hari kita yang sebelum ini.

Tuesday, 17 July 2012

Sedarlah wahai Diri

Masa terus berlalu meninggalkan kita dan kita pula asyik leka, alpa dan asyik dengan duniawi.

Banyak wang ringgit kita habiskan untuk berfoya-foya namun sedikit sangat amal jariah kita terhadap mereka yang memerlukan.

Selama kita bercakap akan keburukan orang lain akan tetapi kita dibutakan dari melihat kelemahan dan kedaifan diri sendiri.

Peluang sudah diberi untuk berjaya namun kita angkuh dan meremehkannya lalu rebah dan tersungkur ke jalan kegagalan.

Nasihat sudah mengunung diberikan kepada kita tetapi kita memekakkan telinga dan menahan hati darinya lalu kita mudah digoda dan disesatkan.

Dosa menimbun dan makin bertambah, akan tetapi kita sering lupa untuk bertaubat sedangkan pintu taubat sentiasa terbuka.

Mata dikurnia memperlihatkan ciptaanNya , sebaliknya kita merosakkannya dengan pandangan hina dan jahil.

Mulut diberi hak berbicara agar sentiasa melafazkan kata-kata zikir kepadaNya, sebaliknya kita mempergunakannya dengan berkata-kata dengan perkataan yang tidak baik yakni mengumpat.

Telinga diberi hak untuk mendengar alunan kalam suciNya , sebaliknya kita memperlakukannya dengan menerima berita-berita fitnah.

Kaki dan tangan yang sempurna dikurniakan agar melakukan ibadat kepadaNya sebaliknya kita terperangkap dalam dunia kemaksiatan.

Kita selalu menyalahkan takdir walhal kita diberi peluang dalam mengubahnya.

Kita selalu lupa akan Allah, namun Allah tidak pernah sesekali melupakan hambaNya.

Kita sering mengatakan keseorangan padahal Allah sentiasa bersama kita sepanjang masa.

KITA SUSAH UNTUK TERSEDAR DARI KEASYIKAN DUNIAWI KEPADA KESEDARAN MENGINGATI ALLAH DAN RASULNYA.

Itulah kita yang seringkali harus disedarkan secara berulangkali agar tidak jauh dari hidayahNya.
Allah itu sentiasa menyayangi hambaNya yang soleh dan taat kepadaNya.

PadaMu Aku Bersujud

Ku menatap dalam kelam
Tiada yang bisa ku lihat
Selain hanya namaMu Ya Allah

Esok ataukah nanti
Ampuni semua salahku
Lindungi aku dari segala fitnah

Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
HambaMu yang selalu bertakwa

Ampuniku Ya Allah
Yang sering melupakanMu
Saat Kau limpahkan kurniaMu
Dalam sunyi aku bersujud
PadaMU

Afgan - PadaMu Aku Bersujud
Such a beautiful lyric, menyentuh hati. :)

Friday, 13 July 2012

Bersangka baik

Dalam hidup ini sering sahaja kita bersangka terhadap apa yang berlaku di sekeliling kehidupan kita seharian. Pelbagai sangkaan yang bermain di fikiran kita. Antara sangkaan baik atau buruk. Sangkaan yang bermain di fikiran kita ada kalanya memberi impak yang negatif mahupun positif. Ianya mengikut apa yang kita sangka, adakah kita bersangka baik atau buruk?

Cuba ambil masa seketika berfikir dalam hidup ini selalunya kita selalu berfikiran baik atau buruk? Yang mana selalu kita amalkan. Jika hendak hidup yang positif dan bahagia bersangka baiklah terhadap apa sahaja yang berlaku dalam hidup ini. Paling penting bersangka baik terhadap Allah S.W.T. Kerana apa yang anda menyangkakan itulah yang bakal berlaku terhadap hidup anda.

Allah SWT berfirman:
"Aku akan bersama (mengikut) sangkaan hamba-hambaKu. Maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan"
(Hadis Qudsi Riwayat At-Thabrani)

Ada kalanya agak sukar untuk kita bersangka baik terhadap orang. Selalunya ada sahaja pelbagai prasangka yang buruk terhadap orang bermain di minda kita. Bukanlah hak kita untuk bersangka buruk dan memburukkan seseorang itu dengan hanya melihat dari segi fizikalnya sahaja. Hak untuk menilai seseorang itu hanya terletak pada Allah. Hanya Allah yang berhak menilai seseorang kerana Dialah yang mengetahui setiap hambanya dari dalam sehingga luar dan apa yang kita tidak nampak. Hak kita hanya bersangka baik kerana itu yang terbaik.

Tiada seorang pun manusia yang sempurna di dunia ini. Kita sendiri juga perlu banyak memperbaiki apa yang patut dalam diri kita dari masa ke masa. Jika seseorang itu melakukan perkara yang tidak patut seharusnya kita janganlah mudah bersangka buruk tetapi mengambil itu sebagai pengajaran untuk kita menjadi lebih baik, baik di mata manusia mahupun di mata Allah S.W.T. Bersangka baiklah kerana semuanya akan baik sahaja. InsyaaAllah..

Thursday, 12 July 2012

Berubahlah kerana Allah

Dalam hati masing-masing pasti mempunyai keinginan untuk berubah untuk menjadi manusia yang lebih baik dan berguna. Ini merupakan fitrah manusia. Aku yakin setiap orang ingin berubah dari keburukan ke arah kebaikan. Siapa yang tak nak berubah kan? Yang sedihnya, pelbagai alasan yang sering kita dengar dalam mencapai perubahan dalam diri. Pentingnya keazaman yang tinggi untuk berubah kerana Allah itu perlu ditanam sedalam-dalamnya dalam diri masing-masing. Dengan itu barulah kita boleh berubah dengan baik. Berubahlah perlahan-lahan sehingga mencapai apa yang kita hajatkan. Nasihat aku cara yang paling mudah untuk berubah rujuklah dengan bahan ilmu seperti bahan bacaan, menghadiri majlis-majlis ilmu atau mendengar ceramah di radio atau tv sudah pasti banyak menyedarkan kita tentang kehidupan yang sebenar dan diredhai Allah SWT.

Apabila seseorang itu sudah tekad hendak berubah menjadi lebih baik, Allah telah membukakannya segala kemudahan untuk dia kembali ke jalan yang benar. Allah akan memberinya segala petunjuk serta hidayah yang tak ternilai padanya yang hanya orang yang beruntung sahaja dapat menikmatinya. Tidak semua orang dapat merasakan perasaan begini. Bersyukurlah jika dikurniakan hidayah kepada anda. Tetapi anda perlu ingat hidayah ini bukanlah perlu dinanti, tapi perlu dicari.

Segelintir manusia ada yang masih ragu-ragu, masih mahu berseronok, masih lalai dengan dunia, dan ada juga yang berkata mahu berubah tetapi masih tidak membuat tindakan apa-apa dan sebagainya. Pelbagai alasan diberikan oleh orang yang enggan berubah. Contoh, "Nanti-nanti lah berubah, sekarang muda lagi" hanyalah kata-kata yang dipinjamkan oleh syaitan supaya kita diheret sama oleh mereka ke neraka Allah. Sedarlah, hidup di dunia sangat SINGKAT waktunya. Usia muda tidak bermakna ajal juga masih jauh duduknya. Tidak nampakkah kita dengan bukti-bukti yang telah Allah tunjukkan? Nauzubillah. Jangan tunggu sampai nyawa-nyawa ikan baru nak berubah.

Diakui dengan kehidupan seperti sekarang yang penuh dengan keseronokan yang berlimpah ruah, memang agak sukar untuk kita berubah. Tetapi itu bukan alasan, bukan kita tidak boleh berseronok tapi berseronok itu ada batas-batasnya, jangan terlalu lalai hingga melupakan Allah. Cuma kita perlu ingat ajal ini bakal menjemput kita tanpa mengira anda sudah berubah ataupun belum berubah. Bagaimana kalau kita belum berubah atau belum bertaubat, ajal anda sudah muncul? Fikirkanlah sendiri. Berubah ke jalan Allah kan lebih baik kerana hidup ini diredhai dan diberkati oleh-Nya. Diredhai dan diberkati oleh Allah S.W.T bukan hanya di dunia malah akhirat.

Jauhi sifat SOMBONG

Kenapa perlu sombong? Sombong kerana merasakan diri itu lebih tinggi darjatnya atau merasakan diri itu lebih sempurna dari orang lain? Kenapa perlu bersifat sedemikian di dunia yang hanya bersifat sementara? Semuanya milik Allah S.W.T. Harta kekayaan, kecantikan, dan pangkat yang tinggi itu semuanya hanya dipinjamkan oleh Allah S.W.T untuk kita di dunia dan bila-bila masa Allah boleh tarik balik.

Kita kena ingat kesenangan ini juga satu ujian. Allah sedang menguji hamba-Nya yang berada dalam kesenangan itu akan tetap berada di jalan-Nya atau lalai dengan dunia. Kesenangan ini perlulah digunakan dengan cara yang betul bukan dengan perbuatan maksiat yang melalaikan. Tetapi kenapa kita terlalu bangga akan harta yang dipinjamkan oleh Allah sehingga bersifat sombong? Bukankah kita diminta hidup secara bersederhana? Bersederhana digambarkan seseorang bersifat merendah diri, mudah didampingi dan berperwatakan sederhana. Ketahuilah bahawa perkara terbaik adalah yang bersederhana. "Celakalah orang yang berlebih-lebihan". Sebagaimana perkara yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W sebanyak tiga kali. (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah mengatakan jika di dalam hati seseorang mempunyai hati yang sombong walau sebesar biji sawi dia diharamkan kakinya ke Syurga. Nauzubillah moga-moga kita dijauhkan dari sifat sombong ini. Walaupun anda berpangkat besar, mempunyai harta yang banyak bersifatlah merendah diri agar diri ini diredhai ke jalan Allah dan disenangi orang sekeliling. Di mata Allah semua manusia sama sahaja dan yang paling penting hati. Hati itu perlu sentiasa bersih. Oleh itu, jauhkan segala perkara keji yang boleh merosakkan hati.

Wednesday, 11 July 2012

Thank you Allah

Aku insan biasa yang tidak pernah lari dari membuat kesilapan. Aku bukanlah insan yang sempurna. Kadang-kadang aku malu dengan diri ini yang sering sahaja dinodai dosa dunia. Aku malu dengan Allah S.W.T yang tidak pernah jemu menjaga dan melindungi aku. Sedangkan aku ada kalanya lalai untuk mengingati-Nya.

Sebenarnya tidak pernah terlintas langsung dari hati ini aku akan merasakan hidup seperti sekarang. Kenapa Allah memilih aku untuk hidup ke jalan ini? Apakah keistimewaannya aku sehingga dipilih untuk merasakan hidup seperti sekarang? Layakkah aku untuk merasakan hidup seperti ini? Ya Allah, aku bersyukur kerana Engkau menyelamatkan aku. Sedangkan sebelum ini aku tidak berusaha untuk mendalami agamaMu. Tetapi kini aku berjanji akan sentiasa menjaga diri agar menjadi lebih baik ke jalanMu, Ya Allah.

Pertolongan dari Allah tidak pernah terhenti. Allah mengurniakan hamba-Nya yang tak jemu-jemu membantuku yang serba tidak tahu ini. Allah memberi kekuatan kepada orang yang terdekat denganku untuk tidak pernah lelah meminjamkan semangatnya kepadaku. Dari situ aku mula merangkak, kemudian aku cuba untuk berdiri. Walaupun kadangkala aku jatuh beberapa kali, tapi kali itu jualah aku lebih berusaha untuk cepat bangkit.

p/s : " Hidayah ni mungkin hanya akan datang sekali sahaja dalam hidup kita. Jadi bila kita rasa hidayah tu hadir, peluklah erat-erat dan genggam lah kemas-kemas. Jangan biarkan ia terlepas pergi. Andainya terlepas, mungkin hidayah itu takkan datang lagi."

Monday, 9 July 2012

Random

PELUANG sentiasa ada kalau dicari
Kita selalu sahaja mendengar kata-kata negatif dalam mulut orang yang selalu berpendapat bahawa sesuatu yang susah untuk dapat amat tipis peluangnya. Contoh situasi 'tak payah la apply universiti tu, bukan senang nak dapat, peluang nak dapat tipis sangat'. Tapi dia masih bercakap tentang peluang kan? Maksudnya ada juga peluang walaupun tipis. Apa salahnya kalau mencuba juga, buat apa takut kalau masih ada peluang. Setipis mana pun peluang itu ianya tetap masih ada peluang. Berusaha mencari peluang untuk berjaya. Hindarkan kata-kata negatif yang lahir dari mulut orang. Ini adalah masa depan kita. Semuanya terletak di tangan kita sendiri.

Berhenti tanya MENGAPA
Bila datang kesusahan pada diri mulalah kita bertanya mengapalah aku ditakdirkan jadi macam ni? Mengapalah dugaan ini datang kepada aku? Mengapa aku tak bahagia? Mengapa, mengapa dan mengapa? Banyak sangat soalan yang bermain di fikiran ketika datang kesusahan kepada kita. Seolah-olah kita marah akan Allah Yang Maha Berkuasa. Tetapi bila kesenangan yang datang kita lupa kepada Allah S.W.T.

Kalau kesusahan yang datang, kita tanya 'mengapa kesusahan ini hadir dalam hidup aku?' tapi bila kesenangan yang datang ada tak kita tanya 'mengapa kesenangan ini hadir dalam hidup aku?'. Memang tak la kan. Kesimpulannya di sini adalah kita kena bersyukurlah dengan setiap apa yang Allah Taala bagi dekat kita. Bukan tahu merungut ja. Redhakan setiap kesusahan yang hadir dan cari jalan keluar dari kesusahan ini. Mohon pada Allah agar kita ditunjukkan jalan yang benar.

Jika ada kesusahan yang menimpa diri, janganlah kita mengatakan, 'Wahai Tuhan aku mempunyai masalah yang besar.' Tetapi katakanlah 'Wahai masalah, aku punya Tuhan Yang Maha Besar'.

Saling berMAAFan
Meminta maaf dan memaafkan seseorang bukan bermaksud kalah atau menang. Sifat ini kebanyakan jarang diamalkan sebab berfikiran bahawa kalau minta maaf atau memaafkan seseorang bermaksud lemah atau kalah. Sebenarnya meminta maaf dan memaafkan ini adalah sikap orang terpuji dan hatinya penuh dengan kelembutan dan ketenangan. Buat apa nak biar diri itu dibelenggui perasaan ego dan dendam yang boleh merosakkan hati. Hati orang yang seperti ini sentiasa tidak tenang. Even Rasulullah sendiri memaafkan umat-umatnya. Apatah kita ni manusia yang tak boleh lari dari membuat kesilapan, ego dan suka berdendam susah sangat nak maafkan seseorang. Macamlah diri tu tak pernah melakukan kesilapan. Janganlah anggap diri tu terlalu sempurna kerana tiada seorang pun manusia kat dunia ini sempurna. Rasulullah juga mengatakan ciri-ciri orang yang masuk Syurga adalah memaafkan semua orang sebelum tidur. Amalkan lah dalam diri, hati akan sentiasa tenang dan senang didampingi dengan orang yang baik-baik.

BerSABARlah wahai hati yang suci
Sudah pasti semua orang di muka bumi ini pernah merasakan diri ini dicela, diumpat atau difitnah. Selembut-lembut lidah adalah senjata yang boleh meremukkan hati hingga berdarah. Jiwa orang yang kotor dan bersifat hasad dengki yang boleh menyebabkan perkara ini berlaku. Orang yang bersifat sebegini juga tidak boleh melihat kesenangan orang lain. Kalau seseorang itu membuat kesilapan yang mungkin tidak disengajakan atau seseorang sedang bahagia mulalah orang yang bersifat jahat ini bercerita yang bukan-bukan kepada rakan-rakan yang lain. Lepas tu muncul lah perangai talam dua muka. Cerita yang benar diputar belitkan dan ditambah-tambah menjadi buruk sampai seseorang yang diumpat atau dicela ini sedih, sakit hati, down dan give up. Perkara baik yang perlu dibuat bagi seseorang yang diumpat atau dicela ialah sabar. Mengadulah kepada Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Jangan risau, yang menilai itu Allah bukan manusia. And let them talk because Allah knows BEST. Berdoalah kepada Allah agar mereka diberikan hidayah untuk kembali ke jalan Allah S.W.T dan maafkan mereka. Sabar kan separuh daripada iman. Jaga iman anda, jangan biar tergoyah.

p/s: Jangan meremehkan orang yang berdoa, kerana mereka sedang meminta kepada Yang Maha Kuat. Doa boleh menjadi jalan keluar di tengah-tengah kebuntuan upaya manusia.

Dipinggir atau meminggir?
Pernah tak rasa diri ini dipinggirkan oleh semua orang? Hidup merasakan seolah-olah keseorangan, sunyi dan sedih sebab terpinggir. Sebenarnya anda yang meminggirkan diri anda sendiri. Orang takkan selalu akan mengajak anda untuk berbual atau melakukan aktiviti bersama-sama kalau anda selalu sahaja meminggirkan diri atau berseorangan. Kerana apa anda meminggirkan diri? Sebab rasa malu, tak setaraf atau tak layak bersama mereka? Orang lain mungkin akan berfikiran anda ini seorang yang sombong, atau suka bersendirian. Pelbagai andaianlah akan bermain difikiran mereka. Caranya anda sendiri yang kena bersosial bersama mereka. Mengenali mereka lebih mendalam dengan cara mengajak berbual, bertegur sapa dan selalu senyum dengan mereka barulah anda akan ramai kawan dan taklah rasa diri tu dipinggirkan.

Saturday, 7 July 2012

Keep going

No matter what you do, no matter what many times you screw up and think to yourself  'there's no point to carry on', no matter how many people tell you that you can't do it - keep going. Don't quit.

Don't quit, because a month from now you will be that much closer to your goal than you are now. Yesterday you say tomorrow. Make today count.

Favorite quotations.

Don't give up, TRY AGAIN!

Dalam dunia ini tiada benda yang mustahil boleh berlaku dengan kehendak Allah. Apa yang penting kekuatan atas keyakinan untuk tetap yakin akan Allah S.W.T tidak lenyap dalam diri. Jangan mudah putus asa dalam kehidupan kerana masalah anda tidak mungkin akan selesai jika merasakan tiada jalan penyelesaian bagi anda. Anda buntu, lemah dan berputus asa. Carilah kekuatan dalam diri. Bagaimana cara untuk mencari kekuatan dalam diri? Senang sahaja, carilah Allah. Kerana Dialah segala kekuatan untuk anda teruskan hidup. Berhentilah mengeluh dan fokuslah dalam mencari jalan keluar kepada masalah yang sedang dihadapi. Nescaya hidup anda lebih bahagia. Anda akan lebih kuat dalam menempuh cabaran hidup ini. Jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya. Tetapi ingat jangan sangat gudah sahaja anda mencari Allah, saat anda gembira juga sentiasa ingat Allah.

Kalau jatuh, jangan mengelamun dan meratapi nasib, kerana ia tidak akan membantu kita bangkit. Cepat berdiri atau bergerak ke tepi, agar tidak terinjak dan jatuh lebih parah lagi. Inilah masalah yang sering sahaja berlaku pada sesetengah orang. Bila ada masalah terus putus asa. Kita kena ingat setiap masalah yang Allah bagi bukan hanya datang dengan kesusahan sahaja tetapi datang juga dengan kemudahan. Kemudahan itu perlulah dicari bukan mengeluh mengharapkan masalah itu akan selesai tanpa mengambil tindakan apa-apa. Tabahlah dalam menghadapi segala musibah yang datang dalam hidup.

Thursday, 5 July 2012

Kebahagiaan

Bila bercerita tentang kebahagiaan, sudah pasti semua orang menyukai dan mengimpikannya. Kebahagiaan merupakan perasaan yang sangat sukar diungkapkan. Semua orang nak merasakan kebahagiaan. Tetapi kebahagiaan perlulah dicari dengan cara yang betul, cara yang diredhai oleh Allah S.W.T supaya kita bukan sahaja bahagia di dunia malah akhirat.

Sesungguhnya fahamilah maksud kebahagiaan yang sebenar. Ramai orang menyangka kebahagiaan yang sebenar terletak kepada harta kekayaan, rumah yang mewah, pakaian yang indah, makanan yang lazat, serta kenderaan yang mewah. Tetapi sangkaan itu tidak tepat.

Sesungguhnya kebahagiaan yang hakiki terletak kepada hati yang tenang, kepuasan hati, ketenangan jiwa, kegembiraan, kelapangan dada, sifat yang baik yang ada pada diri, akhlak mulia serta sifat yang menerima dan mensyukuri segala nikmat yang dianugerahkan Illahi.

Jangan sesekali menganggap bahawa hidupnya yang suka bermewah-mewah dan boros itu adalah orang yang paling bahagia dalam kehidupannya. Sebab kenyataan sebenarnya, gaya hidup seperti itu tidak patut dibanggakan. Orang yang terlalu mengejar kemewahan dan kepuasan dunia yang tidak mengerti halal dan haram itu adalah sebenarnya orang yang paling tidak bahagia. Mereka dalam kesempitan, kesedihan dan kegelisahan. Sebab setiap orang yang menyimpang dari jalan Allah dan berbuat maksiat tidak akan pernah bahagia selamanya. Kerana setiap perbuatan yang dilakukan langsung tidak diredhai Allah S.W.T.

Orang yang paling bahagia adalah hidup dan matinya adalah untuk Allah S.W.T. 'Hidup ini bukan semata untuk hidup, tapi hidup untuk Allah'.

p/s: Kalau anda mempunyai tubuh yang sihat, fikiran yang normal, keluarga dan rakan taulan yang penuh kasih sayang, serta umur yang diisi dengan kebaikan, maka ketahuilah bahawa anda orang yang paling kaya-raya.

Life is Unpredictable

Hidup ini tidak boleh dijangka, apa yang bakal berlaku. Tiada seorang pun manusia yang tahu apa yang bakal berlaku hari ini, esok dan masa depan. Tiada sesiapa pun tahu bila ajal dan jodohnya akan tiba kerana itu semua rahsia Allah S.W.T. 


Perjalanan hidup kita ini sangat indah bila difikirkan kembali. Kehidupan kita dari kecil hinggalah sekarang yang dibesarkan dengan sempurna. Alhamdulillah.. Walaupun pahit manis yang kita lalui sepanjang kita membesar mencorakkan hidup ini lebih indah dan bermakna untuk diingati. Allah S.W.T telah merancang hidup kita ini dengan sebaik-baiknya.


Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku nanti. Apapun kita perlu berserah dengan kehendak-Nya. Perjalanan hidup ini masih panjang. InsyaaAllah kalau kita dipanjangkan umur. Janganlah kecewa dengan hidup yang kita alami sekarang kerana mungkin perkara baik bakal berlaku dalam hidup kita nanti. Mulakan hari-hari anda dengan Alhamdulillah. Bersyukurlah kepada Allah kerana diberi peluang untuk kita hidup dibumi milik-Nya ini.


Kadang-kadang kita terfikir kenapa Allah mempertemukan kita dengan seseorang. Padahal sebelum ini dia langsung kita tak kenal. Tetapi percayalah Allah mempertemukan kita dengan seseorang ada sebab-sebabnya tersendiri. Dan cuba bayangkan kalau kita tidak dipertemukan dengan orang kita kenal sekarang. Apa yang kita sedang lakukan ketika kita bersama mereka tetapi waktu itu kita tidak dipertemukan dengan mereka? Adakah pertemuan dengan orang lain akan memberi impak yang sama seperti orang yang dipertemukan dengan kita sekarang? Setiap orang yang kita kenal datang dan pergi memberikan kesan kepada diri kita, tak kiralah kesan yang baik atau buruk. Tetapi kalau bukan kerana kehadiran mereka mungkin kita takkan merasakan hidup seperti sekarang. Bersyukurlah kerana dipertemukan dengan sesiapa yang berada dengan anda sekarang ataupun tidak lagi kerana setiap pertemuan memberikan hikmah yang Allah sahaja yang tahu. Dan bersyukurlah juga kerana bukan sebab mereka anda tidak mungkin merasakan pengalaman yang indah untuk diingati kerana mereka juga pernah membahagiakan anda sebelum ini. Hargailah orang yang dipertemukan oleh Allah untuk anda.

Sunday, 1 July 2012

Syurga

" Syurga itu dipenuhi dengan orang yang lemah, merendah diri, susah dan sentiasa diuji ".

Ada kalanya kita tertanya-tanya pada diri sendiri, kenapakah kita sering ditimpa kesusahan dan sering diuji? Bergembiralah wahai teman, kerana Syurga itu memang tersedia untuk orang susah dan melepasi segala ujian yang diberikan oleh Allah S.W.T.



Diriwayatkan daripada Harithah bin Wahab r.a katanya: Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda:

Inginkah kamu aku beritahu tentang ahli Syurga?

Para Sahabat menjawab: Ya!

Rasulullah s.a.w bersabda: Mereka semua adalah orang yang lemah dan merendah diri, seandainya mereka bersumpah kerana Allah nescaya Allah akan memperkenankannya.

Kemudian baginda bersabda lagi: Inginkah kamu aku beritahu tentang ahli Neraka?

Mereka menjawab: Ya!

Baginda bersabda: Mereka semua adalah orang yang selalu diagung-agungkan dan bermegah-megah serta sombong.

Apa yang telah Kau tetapkan untuk aku, aku REDHA.

Sesunguhnya segala kebaikan itu datang dari Allah S.W.T dan keburukan itu datangnya dari kita sendiri. Dialah yang menetapkan segala perihal yang berlaku dalam hidup kita. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukannya. Setiap yang berlaku dalam hidup ini ada alasan yang tertentu oleh Allah yang mungkin sukar untuk ditafsirkan oleh minda kita sendiri. Tetapi tetap yakinlah kepada Allah, Dia lagi Maha Mengetahui. Dialah yang yang menentukan apa yang terbaik untuk diri kita. 

Setiap kesedihan yang melanda diri kita mengajar kita untuk jangan mudah mengalah. Bayangkan kalau hidup kita ini terlalu sempurna, segala doa kita dimakbulkan oleh-Nya, mungkin kita akan lupa diri dan terus membinasakan hidup kita dan kita akan lupa kepada-Nya. Hikmah disebalik segala dugaan yang diberikan untuk kita ini agar kita kena selalu ingat akan Allah S.W.T. Allah nak kita berubah ke jalan yang lebih baik. Bersyukurlah dengan hidayah yang diberikan dari-Nya untuk kita kerana kita dikalangan orang yang beruntung. 

Berubahlah kerana Allah kerana hidup kita hanya sementara di dunia ini. Mungkin kita masih hidup pada hari ini, tetapi mungkin esok tidak lagi. Ajal bakal menjemput bila-bila masa tanpa kita mengetahuinya. Hidup janganlah terlalu di dunia kerana in the end, everything is belong to Allah. Dan ingatlah tidak semua yang kita nak kita akan dapat melainkan dengan izin Allah.

"Segalanya aku redha dengan ketentuan-Mu, Ya Allah kerana aku tahu itu adalah jalan yang terbaik bagi diriku". Mungkin kadangkala kita terasa sakit saat menghadapi dugaan yang hadir tapi percayalah ada ganjarannya nanti. Everything will get better. 

Setiap permasalahan ada penyelesaiannya. Setiap permulaan cerita mestilah ada penghujungnya. Jangan biarkan kerisauan, kesedihan membelenggu diri kita. Redhakan apa yang berlaku membuatkan hidup lebih bahagia dan tenang. Hadapilah hidup ini dengan kesabaran dan ingatlah Allah S.W.T sentiasa bersama kita. 

Sekian, Assalamualaikum....