Friday, 24 August 2012

Jangan bersedih

Wahai orang yang sedang bersedih,
Ketahuilah, kita hanya mampu merancang, tetapi Allah S.W.T yang menentukannya. Setiap perjalanan hidup manusia, yang selalu bertaut pada Allah Azza Wajalla, pasti tidak akan kecewa sekiranya sentiasa yakin akanNya. Setiap yang berlaku adalah kehendak Allah. Setiap kehendak Allah itu pasti akan berlaku kerana seseorang hamba Allah itu tidak akan mampu menghalang atas setiap apa yang Allah telah tetapkan, dan kehendak Allah adalah berkait dengan hikmah. Hikmah itu pula berhubung rapat dengan kebaikan yang bakal kita dapat. Hanya mereka yang sempurna akal dan bijak menentukan kehidupan sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang tersirat disebalik ujian dan dugaan yang menimpa.

Apa jua takdir Allah pasti bermaksud baik walaupun kelihatan pahit. Jika manusia mengecewakan kamu, jangan bersedih, kerana Allah akan selalu menunaikan harapan kamu. Jika manusia menzalimi kamu, jangan bersedih, kerana Allah akan selalu berlaku adil terhadap kamu. Jika manusia melukai kamu, jangan bersedih, kerana Allah akan selalu menitipkan penyembuh buat kamu.

Jangan kita hanya tahu merungut kerana seakan kita tidak redha pada ketentuan Allah. Jangan kita hanya tahu berkeluh kesah, kerana ujian yang datang yang bakal menentukan martabat dan darjat seseorang di mata Allah S.W.T. Jangan kita kecewa, putus harapan, kerana seakan kita berputus asa pada rahmat Allah, sedangkan Dia sentiasa memerhati dan menyayangi kita.

"Tidak ada iman tanpa ujian". Kalimat itulah yang mesti dipegang oleh seorang mukmin dalam mengharungi kehidupan. Susah dan senang itu adalah sesuatu yang berada di antara ruang-ruang kehidupan di mana seseorang mukmin itu diuji keimanannya. Persoalannya, samada seseorang itu akan berjaya atau tidak dalam menempuhi setiap ujian yang berlaku dalam hidupnya? Semua itu bergantung akan keimanan dan ketaqwaan seseorang terhadap Allah Yang Maha Berkuasa.

Sabarlah! Kemampuan bersabar itu ditentukan oleh kekuatan hati dan keyakinan terhadap takdir, qada' dan qadar' serta janji Allah SWT. Segalanya akan menjadi mudah, jika kita mampu bersabar dan bersyukur.

Istighfarlah! Sesiapa yang memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan membebaskannya daripada kesedihan, dan memberikannya jalan keluar bagi kesempitan, dan akan dimurahkan rezeki.

Bila kita terlalu berharap pada seseorang dan tidak pada Allah, kita pasti akan menemukan kekecewaan yang teramat dalam. Makluk Allah S.W.T penuh dengan pelbagai kekurangan yang belum tentu mampu membahagiakan kita. Hanya Allah yang mampu membahagiakan kita dan memberikan ketenangan hati. Maka, kita harus sentiasa memohon bantuan dan berharap hanya kepada Allah Azza Wajalla. Takdir itu milikNya, usaha dan doa itu milik kita. Teruskan berdoa memohon hanya kepadaNya.

Kita semua milik Allah, kita harus mengembalikan segala urusan hanya kepada Allah. Lepaskan segala-galanya, hanya percayakan Dia. Yakin akan Allah! Anda pasti tidak akan kecewa.

No comments:

Post a Comment