Wednesday, 29 August 2012

A new beginning

Pengalaman mengajar aku supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang. Tanpa pengalaman samada yang baik atau buruk seseorang itu tidak akan belajar sesuatu daripadanya untuk menjadi lebih baik dan lebih berhati-hati dalam menguruskan setiap langkah kehidupan.

Dalam memulakan kehidupan yang baru ini umpama 'menutup buku lama dan membuka buku baru' pada mulanya memang agak sukar. Kekuatan dalam diri perlulah dititipkan agar tidak lagi jatuh ke landasan yang salah. Pelbagai aspek yang perlu diambil dalam etika pengurusan hidup yang baik iaitu pengurusan masa yang lebih efektif. Masa amat penting. Tanpa pengurusan masa yang bijak seseorang mungkin akan gagal dalam menguruskan kehidupannya. Seseorang itu haruslah bijak menguruskan masanya dengan masa beribadah, masa belajar dan sebagainya agar masa sehari-harian digunakan dengan baik dan tidak membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

Pengurusan kewangan juga amat penting agar tidak melebihi had bajet wang yang diperlukan. Terutamanya aku sebagai pelajar, pengurusan wang ini perlu diambil kira. Pengurusan wang yang salah boleh mengundangkan bencana dalam diri. Wang tidak boleh digunakan secara boros atau melebih-lebihan. Allah S.W.T juga melarang kita dari bersifat boros.
Allah berfirman, 
"Orang-orang boros (membazir) adalah saudara-saudara syaitan."
(Al-Isra: 27)
Kita perlu berjimat cermat kerana kos sara hidup seseorang semakin tinggi di zaman yang serba canggih ini. Jangan terlalu terpengaruh dengan gaya hidup seseorang kerana kita perlu sedar siapa kita kerana diri kitalah yang bakal menanggung akibatnya bukan orang lain.

Selain itu, pengalaman mengajar aku agar memilih sahabat yang betul. Sahabat yang salah boleh mempengaruhi kita dalam segala aspek kehidupan. Sahabat adalah cermin kepada kita. Segala tingkah lakunya bakal memantulkan cahayanya dalam diri kita. Jika sahabat kita baik maka baiklah kita dan juga sebaliknya. Carilah sahabat yang mengingatkan kita akan Illahi. Seorang kawan yang baik adalah yang akan membantu kita untuk menjadi orang baik. Sahabat yang baik juga, apabila dipandang wajahnya, membawa mengingati Allah, mendengarkan kata-katanya, menambahkan ilmu, terlihat gerak gerinya, meninggikan takut kepada Allah, berkawan dengannya, berjuang ke jalan Allah. Itulah sahabat yang baik. Kita sebagai manusia ada hak untuk memilih sahabat antara yang baik atau buruk kerana setiap perkara tersebut bakal memberi kesan yang mendalam terhadap diri kita. Perkara tersebutlah yang membentuk diri kita kelak. Jika sahabat kita ada melakukan perkara yang menyimpang ke jalan yang benar, kita sebagai sahabat perlulah membimbingnya ke jalan yang baik iaitu ke jalan Syurga.

Jangan melebihkan segala-galanya dari Allah Azza Wajjala. Hal sebeginilah yang patut diambil beratkan dalam kehidupan kita semua. Ramai orang kecewa kerana mementingkan hal yang lain selain Allah. Mereka lupa Allah sentiasa ada setiap waktu.

Dan kita sentiasa kita ingat apapun yang berlaku dalam hidup ini semua takdir Allah. Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatanNya terlalu MISTERI dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah 'what you give, you get back'. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah. Perkara yang berlaku atas diri kita adalah akibat dari diri kita sendiri.
Allah berfirman,
"Allah tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." 
(Ali Imran: 117)
Contohnya seseorang merasakan hidupnya tiada gunanya lagi dan masa depannya hancur kerana dibuang daripada universiti atas kegagalan dalam peperiksaan akhir. Itu adalah salah dirinya sendiri. Peluang sudah ada di depan mata tetapi tidak mengendahkannya dan akhirnya gagal sebelum garisan penamat. Banyak lagi pengajaran yang perlu kita pelajari. Apapun ingatlah Allah S.W.T sentiasa bersama kita. Memohon ampun dan taubat kepadaNya serta bertawakal dan menyerah diri hanya padaNya kerana hanya Allah Yang Maha Berkuasa yang menetapkan segalanya pada kita. Kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal tetapi Allah yang menentukannya. Redhakan atas semua yang berlaku. Terima dengan hati terbuka kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan untuk kebaikan pada diri kita kelak.

Berfikir sebelum bercakap takut-takut tersalah bicara atas apa perkataan yang bakal keluar dari mulut kita yang mungkin boleh mengaibkan orang atau kata lain mengumpat ketika bersama rakan. Mengumpat menjadi trend pada masa kini ketika bersama rakan terutamanya perempuan. Entah mengapa kita sering sahaja lalai dan lupa akan hukum mengumpat ini. Mengumpat adalah haram dan merupakan dosa yang besar kerana lebih teruk daripada membunuh. Sesiapa sahaja yang mengumpat pasti akan masuk Neraka. Nauzubillah. Perkara inilah yang perlu dijauhkan. Kenapa terlalu seronok mengaibkan dan menjatuhkan orang tanpa mengetahui akibatnya? Siapa kita hendak menilai seseorang? Layak sangatkah kita? Jangan merasakan diri itu terlalu bagus untuk menilai seseorang. Kita tidak sempurna. Kita kena terima baik buruk seseorang. Ambil yang jernih buang yang keruh. Itu yang terbaik dan mengumpat tidak memberikan manfaat malah merosakkan hati.

Kesimpulannya, belajarlah dari kesilapan untuk menjadi lebih baik. Tingkatkan kualiti diri dan bijak menguruskan diri adalah ciri-ciri orang yang berjaya di dunia malah akhirat. Sentiasalah beristiqamah dalam memperbaiki diri ke jalan yang betul iaitu jalan Allah S.W.T. :)

No comments:

Post a Comment