Sunday, 5 August 2012

Istiqamah

Sebagai seorang muslim, kita haruslah sentiasa beristiqamah dalam melakukan segala perbuatan baik yang diperintah oleh Allah S.W.T. Istiqamah bermaksud berpendirian teguh atas jalan yang lurus, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah dan berpaling walau dalam apa-apa keadaan sekalipun. Cara untuk kita sentiasa beristiqamah ada tiga perkara iaitu mempunyai niat yang betul, kurangkan pilihan dan selalu berdoa.

Niat penting bagi memastikan hala tuju kehidupan kita yang sebenar. Niatlah dalam hati agar kita sentiasa kekal berpegang teguh dan berpendirian tinggi serta niatlah dengan penuh keikhlasan dalam melakukan apa jua hal kerana Allah Taala untuk kita sentiasa menjadi seorang muslim yang soleh dan solehah di dunia mahupun akhirat. InsyaaAllah niat yang betul akan mencapai segala keredhaanNya.

Kurangkan pilihan bermaksudnya di sini ialah kurangkan memilih dalam melakukan sesuatu antara baik atau buruk. Contohnya, nak maafkan seseorang ataupun tidak? Sering sahaja bermain di minda dalam hal sebegini, bukan? Sepatutnya kita harus ikutkan sahaja perkara yang baik dan jauhkan perkara yang buruk supaya hati kita sentiasa bersih dari segala perkara yang tidak baik yang boleh merosakkan hati seperti perasaan berdendam, hasad dengki mahupun riak. Sentiasalah membersihkan hati ini dengan solat, berpuasa, berzikir dan sebagainya. Salah satu tip untuk membersih hati menurut Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah ialah pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya.

Doa merupakan senjata orang mukmin. Orang mukmin akan banyak berdoa dan bermunajat kepada Allah S.W.T sama ada dalam keadaan tenang ataupun dalam keadaan gelisah. Hati seseorang mukmin itu sentiasa bergantung dengan kekuasaan Allah SWT tidak kiralah dia sedang bergembira atau berduka. Dan tidak akan rugi seseorang itu jika sentiasa berharap dan berserah diri kepada Tuhan yang Maha Berkuasa kerana berdoa merupakan salah satu bentuk komunikasi seseorang hamba dengan Raabnya (Tuhannya) dan juga satu bentuk hubungan yang mujarab bagi mendekatkan diri dengan Pencipta. Doa juga merupakan satu ibadah.

“Umat Islam digalakkan berdoa untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Manusia hanya mampu berusaha, segala ketentuan adalah daripada Allah S.W.T. Memohon sesuatu daripada Allah hendaklah disertai dengan perasaan insaf, jujur, dan ikhlas supaya mendapat petunjuk dan hidayahNya.”
(Al-Baqarah; 201)

Rasulullah SAW bersabda :
“Man Qala La Hawla wala Quwwata Illa Billahi Kana dawa’an min tis’atin wa tis’iina da’in, aisaruha al-Hammu”

Bermaksud;
“Siapa yang mengucapkan 'La Hawla Wala Quwwata Illa Billah,' maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”.
(Hadis Riwayat Tabrani)

Zikir 'La Hawla Wala Quwwata Illa Billah' jika selalu dibaca boleh memberi kekuatan pada hati serta hati sentiasa ikhlas dalam mengerjakan perintah Allah S.W.T. InsyaaAllah..

Kesimpulannya, istiqamah merupakan sikap jati diri yang teguh dan tidak luntur oleh apa jua pengaruh dan cabaran. Sikap ini membolehkan seseorang itu terus berusaha untuk mencapai matlamat daripada usaha dan pengorbanannya. Akhirnya sikap inilah yang menjadi faktor utama kejayaan.

No comments:

Post a Comment