Wednesday, 9 January 2013
Tafsir Cinta
Cinta datang tanpa diundang. Naluri ataupun perasaan cinta sudah lama wujud dalam diri seseorang, kerana cinta itu adalah fitrah semula jadi manusia. Setiap manusia memiliki fitrah untuk mencintai dan dicintai, tetapi cinta itu hendaklah dibina atas dasar keimanan agar ia tidak akan menjadi fitnah.
Perasaan cinta itu tidak salah kerana ia adalah anugerah Allah. Kita hendaklah memeliharanya dari menjadi fitnah duniawi. Sering kita dengar bahawa cinta antara lelaki dan perempuan ajnabi itu akan halal selepas selesainya akad nikah. Ramai yang mengakuinya, namun ramai juga yang mengendahkannya.
Cinta itu begitu indah apabila dihayati dengan aturan islam. Diri ini sering tertanya-tanya, adakah dengan 'bercouple' itu lengkaplah kebahagian kehidupan ini? Persoalan mula timbul apabila melihat ramai kawan-kawan terdekat 'bercouple'. Amalan 'couple' ini adalah amalan orang-orang barat yang dicipta oleh kaum Yahudi dan Nasrani untuk merosakkan umat kita pada masa kini. Malah amalan ini juga boleh membawa kepada penzinaan. Nauzubillah.
Benarkah cinta itu wujub apabila kita mempunyai pasangan kekasih yang selalu bertanya khabar, ber-sms, chatting dalam facebook, skype, berdating berdua-dua untuk melepaskan rindu atau bergayut di telefon dengan menggunakan nada yang manja? Kemanakah hala tuju perhubungan itu? Adakah direstui keluarga atau persoalan yang lebih besar lagi perhubungan itu diredhai oleh Allah? Adakah semua ini dinamakan CINTA?
Persoalan ini sering berlegar di mindaku tanpa ada noktah jawapannya. Astgahfirullahalazim, bermuhasabahlah teman-teman, moga diri kita tidak tergolong dalam kalangan hamba yang lalai dengan cinta duniawi ini. Berdasarkan pemerhatian, aku sering melihat dan mendengar pelbagai karenah rakan-rakan yang bercouple ini. Contohnya, mereka menghabiskan banyak masa bersama kekasih dan mendengar kata-kata manis dengan suara yang sengaja dimanjakan serta dilembutkan. Bukankah suara itu juga sebahagian daripada aurat kita?
Allah S.W.T berfirman,
"...Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."
(Surah al-Ahzaab, ayat 32)
Mengapa perlu diucap perkataan sayang, rindu, cinta kepada seseorang yang BUKAN HALAL bagi kita? Simpanlah kata-kata manismu untuk si dia yang halal bagimu dan bukan kepada yang membawa kamu ke jalan kemaksiatan.
Apabila ditanyakan persoalan tentang perkahwinan, selalunya mereka yang bercouple terdiam sepi kerana tiada jawapan. Ada juga yang memberikan banyak alasan seperti 'masa belum tiba lagi', 'muda lagi la nak kahwin, nak kerja dulu baru la nak kahwin', 'family tak bagi kahwin lagi', 'alaa tak cukup duit lagi la', dan pelbagai lagi. Pandangan saya sebagai seorang remaja yang hidup di era ini tentang cinta memang jauh ketinggalan. Tidak salah berkahwin pada usia muda. Bukankah lebih elok jika dipercepatkan perkahwinan? Rasulullah SAW bersabda: "Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya." (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Tetapi INGAT, sebelum membuat apa-apa keputusan besar dalam hidup kita, istikarahlah kepada Allah terlebih dahulu. Pohon kepadaNya supaya keputusan yang bakal diambil adalah petunjuk dariNya, bukan atas hawa nafsu mahupun bisikan syaitan. Jika benar 'dia' layak untuk kita, jangan berhenti memohon supaya Allah mempermudahkan jalan itu. InsyaAllah, Dia Maha Mendengar.
Benarkah apabila selalu keluar bersama kita akan dapat mengenali pasangan dengan lebih baik atau sekadar untuk mendapat perhatian dan keseronokan dunia? Atau pasangan dijadikan tempat untuk mengadu segala masalah? Bukankah Allah itu tempat terbaik untuk berbicara dari hati ke hati? Ayat-ayat cintaNya itulah penawar duka lara kita ketika susah senang dan dapat mententeramkan hati kita. Cara untuk mendapat ketenangan hati bukannya dengan mengadu kepada 'couple' kita, tapi dengan mengadu kepada Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Berkuasa, kekasih hati yang hakiki.
Allah S.W.T berfirman,
"...Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan tenang."
(Surah ar-Raad, ayat 28)
Kadang-kadang terdengar ramai lelaki mengatakan perempuan yang tidak melayan ajakan maksiat mereka itu sombong. Kenapa boleh berkata begitu? Apabila si perempuan yang tidak membalas teguran dan ajakan untuk 'berkenalan', itu bukannya sombong, tapi itu adalah untuk menjaga diri. Sedarlah lelaki diluar sana, jika anda mahu ibu kepada anak-anak anda baik, maka jadikanlah diri anda baik dahulu. Jika ingin dihormati, hormatilah pasangan yang bakal anda nikahi terlebih dahulu.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang sering kita dengari yang bermaksud,
"Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."(Surah an-Nur, ayat 26)
Yakinlah dengan janjiNya untuk pertemuan dengan si HALAL bagi menyempurnakan kasih sayang di muka bumi ini. Masa dan waktu menentukan segalanya berserta doa yang sering dipanjatkan kepadaNya. Jagalah cinta kalian untuk yang halal sahaja. InsyaAllah, masa itu akan tiba.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment