Tuesday, 22 January 2013

Yang menilai itu Allah, bukan manusia


Bila seseorang yang berkata tidak baik tentang kita, apa yang kita rasa? Mesti kita akan terluka, terasa, sakit, merana atau menderita.

Tapi, cuba fikir satu persatu.

Adakah apa yang mereka katakan itu seratus peratus benar tentang kita? Enak sangatkah 'cerita' mereka itu sehingga orang lain akan mempercayainya membuta tuli? Sejauh mana kebenaran dalam kata-kata yang tidak baik itu terhadap kita? Rasa-rasa, sampai bila orang-orang sebegitu akan bertahan untuk terus dan terus memperkatakan tentang kita? Mereka itu tiada salah ke sehingga asyik melihat salah orang lain?

"Orang yang sibuk mencela orang lain akan mengabaikan usaha memperbaiki dirinya, sebab dia menganggap dirinya sudah sempurna dan lebih baik daripada orang lain"

Sering dikatakan bahawa lidah manusia itu tidak bertulang. Lidah memang tampak begitu lembut. Tetapi sewaktu kata-kata keluar darinya, ia boleh menjadi lebih tajam daripada mata pedang. Menusuk telinga yang mendengarnya, menikan jiwa hingga 'berdarah' dan terluka kerananya. Bukankah demikian?

Kalau kita tidak melakukan sesuatu yang salah dan selagi kita berada pada jalan yang betul dan benar, jangan biarkan diri kita terganggu oleh hinaan orang. Jangan sekali-kali takut terhadap celaan orang yang suka mengumpat. Jangan jadi susah hati kerananya. Kita tidak perlu membalas celaan itu. Sibukkan sahaja diri dengan melakukan amal kebaikan. Akan tiba waktunya nanti, mereka yang mengumpat itu akan berhenti sendiri dan menyedari kebodohan mereka.

Mengumpat orang lain merupakan aktiviti yang tidak berguna dan tidak menjadikan hidup seseorang lebih mudah atau berjaya. Apa yang mereka dapat dengan mengumpat? Kepuasan mungkin? Orang yang dihina juga tidak seharusnya berasa terhina atau kalah. Kemuliaan dan kehinaan itu bersumber daripada Allah, bukan dari sisi manusia. Apalah sangat PANDANGAN orang jika hendak dibandingkan dengan pandangan Allah?

"Wahai orang-orang beriman! Janganlah sesuatu kaum (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kaum lelaki yang lain, (kerana) mungkin kaum yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu kaum daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kaum perempuan yang lain, (kerana) mungkin kaum yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka".
(Al-Hujurat 49: 11)

Mereka itu adalah manusia. Manusia adalah hamba Allah. Tiada satu manusia pun yang sempurna melainkan Baginda SAW. Manusia ini sering diliputi dosa sama ada disedari atau tidak disedari, disengajakan atau tidak sengaja. Dan setiap manusia itu memang ada kekurangan dan kelemahan. Begitu juga dengan kelebihan.

Tapi, kekurangan itu perlu dibaiki. Kelebihan itu perlu disyukuri. Ingat sentiasa bahawa kekurangan manusia perlu kita terima. Kerana apa? Kerana kita manusia. Kita semua adalah sama. Taraf kita sama. Takkan melebihi sesiapa. Terima kekurangan itu. Jalan terbaik adalah berdiam diri. Dan doakan mereka-mereka itu. Semoga Allah melimpahi nur dan hidayahNya untuk mengupgrade kekurangan tersebut ke arah kebaikan.

Itu kisah 'mereka yang lain.' Kisah kita? Kita yang menghadapi kata-kata tidak baik itu, bagaimana pula?

Muhasabah diri semula.

Apa yang kita buat selama kita hidup ini, sebab orang-orang yang berkata itu ke?
Atau sebenarnya, kita buat sesuatu itu kerana Allah semata-mata?
Hidup kita ini berpaksikan kepada siapa sebenarnya? Allah atau manusia?
Kita ini ingin dapatkan redha Allah atau redha manusia?
Kalau kita nak berubah sesuatu ke arah kebaikan, kita perlu minta kekuatan dari Allah atau hamba Allah?
Niat kita sepanjang hidup ini adalah apa? Think deeply.

Allah yang mencipta kita. DIA yang menghidupkan roh kita. DIA yang berkuasa atas sesuatu. DIA Pemilik Kerajaan Langit dan Bumi. DIA adalah Tuhan kita. Hanya DIA yang layak disembah. Jadi, alasan apa yang kita ingin gunakan untuk melakukan sesuatu tanpa berniatkan Lillahi Ta'ala?

Inna a'malu binniat - Sesungguhnya, segalanya bergantung kepada niat. Apa yang kita lakukan hendaklah dipasang dengan niat kerana Allah. Apa-apapun, yang pertama tetap Allah.

"Kenapa perlu kecewa apabila ada orang negatif dengan kita? Apakah kita bekerja kerana mereka?" - Hilal Asyraf

Apa yang kita dapat melalui kata-kata penulis terkenal ini? Fikir, tanya hati kita sendiri. Tujukan persoalan itu terhadap diri kita sendiri. Hidup kita ini perlu sentiasa bermuhasabah. Fikir, fikir dan fikirkan sesuatu itu secara positif dan berhikmah.

Pujuklah hati. Jangan biarkan hati itu terus merana kerana kata-kata tidak baik dari mereka. Sabarlah. Allah itu bersama orang-orang yang sabar. Setiap satu yang berlaku pasti ada hikmah. Hikmah itu rahsia DIA. Kita mencari dan menanti dengan doa. Sesungguhnya, doa itu senjata mukmin.

Ingatlah.

Kita lebih tahu siapa diri kita. Mereka tidak.
Kita lebih faham diri kita. Mereka tidak.
Kita lebih kenal diri kita. Mereka tidak.

Dan yang paling penting, Allah itu lebih memahami kita. DIA faham kita lebih daripada apa yang kita faham tentang diri kita. Jadi, perlukah kita putus asa atas rahmat Allah? Allah itu ada. Jangan sia-siakan kewujudan Tuhan Yang Maha Adil itu. Kita hamba DIA. Serahkanlah diri padaNya. DIA Pengubat Kelemahan. DIA jugalah Pemberi Kegembiraan. Ketenangan itu ada pada DIA. Perlukah kita untuk tidak mencari?

"If Allah is your friend, who dares to be your enemy?" Pujuklah hati kita dengan mengatakan "Allah kan ada!"

Wallahualam.

1 comment: