Thursday, 7 February 2013

Hidayah Allah SWT

Hidayah merupakan petunjuk dari Allah SWT. Semua orang pasti menantikan hidayah Allah SWT kerana hidayah Allah sangatlah berharga dan hanya orang yang beruntung sahaja dapat merasai kemanisan hidayah yang dikurniakan oleh Allah SWT ini. Buktinya apabila kita menanyakan seseorang bila mahu berubah pasti dijawabnya 'tunggulah datang seru/hidayah dahulu baru nak berubah' dan sebagainya. Tetapi dengan hanya menanti tiada gunanya kerana kita haruslah berusaha mendapatkan hidayah dari Allah. Kita perlu ingat HIDAYAH perlu dicari, bukan dinanti. Logik kah kita menunggu hidayah tanpa perlu mencarinya.? Bak perut yang sedang kelaparan, logik kah ia kenyang tanpa dikenyangkan? Ada kalanya kita beruntung ada orang yang menghantarkan makanan, tetapi logiknya kita mesti mencari makanan itu sendiri. Begitu juga dengan hidayah.

Sesungguh kuasa Allah itu sangat luas dan meliputi sekalian alam. Dia sahaja yang mampu memberikan hidayah kepada manusia dan mampu juga menarik hidayah dari manusia. Sebagaimana kata-kata Allah :

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman."
Al-An'aam , 125

Sesuatu bangunan itu tidak akan terbina jika tiada orang yang membinanya. Sesuatu perkara itu tidak akan terjadi jika tiada orang yang melakukannya. Oleh itu, kita sebagai hambanya sentiasalah mencari dan sentiasa muhasabah diri mengapa dan kenapa diri kita jauh dan tidak mendapat hidayah Allah. Hidayah Allah itu tersangat berharga kerana setiap perlakuan seseorang selepas itu akan bertukar menjadi dari kekufuran kepada beriman. Contohnya, kita lihatlah sahaja sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w dahulu, mereka mendapat hidayah Allah sehingga sanggup menggadaikan semua hartanya hanya kerana Allah. Manusia perlulah berusaha mengubah dirinya sendiri kerana "tiada siapa yang dapat mengubah diri kita sendiri melainkan diri kita sendiri" dan ingatlah setiap perkara yang kita lakukan sama ada baik atau buruk kita sendiri yang bakal menanggungnya dan bukan orang lain.

Firman Allah Taala bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."
(Surah ar-Rad: ayat 11).

Ini merupakan cara-cara mendapat hidayah dari Allah SWT:
1. Bertauhid
Seseorang yang mendambakan hidayah Allah, maka haruslah dia menghindarkan diri dari kesyirikan, kerana Allah tidak akan memberikan hidayah kepada orang yang melakukan syirik. Firman Allah Taala bermaksud “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kesyirikan, mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(QS. Al-an’am:82).

2. Taubat kepada Allah
Allah tidak akan memberi hidayah kepada orang yang tidak bertaubat dari kemaksiatan, bagaimana mungkin Allah memberi hidayah kepada seseorang sedangkan dia tidak bertaubat? Allah berfirman “Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan menunjuki orang-orang yang bertaubat kepada-Nya”.

3. Belajar Agama
Tanpa ilmu (agama), seseorang tidak mungkin akan mendapatkan hidayah Allah. Rasulullah SAW bersabda “Jika Allah menginginkan kebaikan (petunjuk) kepada seorang hamba, maka Allah akan memahamkannya agama” (HR Bukhori)

4. Mengerjakan apa yang diperintahkan dan menjauhi perkara yang dilarang
Kemaksiatan adalah sebab seseorang dijauhkan dari hidayah. Allah berfirman “Dan sesungguhnya kalau mereka melaksanakan pelajaran yang diberikan kepada mereka, tentulah hal yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih menguatkan (iman mereka), dan kalau demikian, pasti Kami berikan kepada mereka pahala yang besar dari sisi Kami, dan pasti Kami tunjuki mereka kepada jalan yang lurus.” (An-nisa: 66-68).

5. Membaca Al-Quran, memahaminya dan mengamalkannya
Allah berfirman “Sesungguhnya Al Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus” (QS. Al-Isra:9)

6. Berpegang teguh kepada agama Allah
Allah berfirman “Barangsiapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” (QS. Ali-Imron:101).

7. Mengerjakan solat
Di antara penyebab yang paling besar seseorang mendapatkan hidayah Allah adalah orang yang sentiasa menjaga solatnya, Allah berfirman pada surat Al-Baqarah yang ertinya “Aliif laam miim, Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya dan merupakan petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.”

Siapa mereka itu, dilanjutkan pada ayat setelahnya “yaitu mereka yang beriman kepada hal yang ghaib, mendirikan solat dan menafkahkah sebahagian rezeki yang diberikan kepadanya” (QS. Al-Baqarah:3).

8. Bersahabat dengan orang-orang soleh
Allah berfirman “Katakanlah: “Apakah kita akan menyeru selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan kemanfaatan kepada kita dan tidak (pula) mendatangkan kemudharatan kepada kita dan (apakah) kita akan kembali ke belakang, sesudah Allah memberi petunjuk kepada kita, seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan di pesawangan yang menakutkan; dalam keadaan bingung, dia mempunyai kawan-kawan yang memanggilnya kepada jalan yang lurus (dengan mengatakan): “Marilah ikuti kami.” Katakanlah:”Sesungguhnya petunjuk Allah itulah (yang sebenarnya) petunjuk; dan kita disuruh agar menyerahkan diri kepada Tuhan semesta alam.” (QS. Al-An’am:72).

Ibnu Kathir mentafsir ayat ini, “Ayat ini adalah permisalan yang Allah berikan kepada teman yang soleh yang menyeru kepada hidayah Allah dan teman yang jahil  yang menyeru kepada kesesatan, barangsiapa yang mengikuti hidayah, maka ia bersama teman-teman yang soleh, dan barang siapa yang mengikuti kesesatan, maka ia bersama teman-teman yang jahil. “

p/s: Lihatlah diri kita, ada dikalangan kita sudah berhijrah mendapat hidayah Allah yang sangat berharga itu, ada yang masih didalam kegelapan oleh tindakan mereka sendiri. Bagaimana kita dengan Allah? Bagaimana hubungan kita dengan Allah? Semoga kita semua mendapat tempat disisi Allah dan tergolong dalam golongan Hambanya yang mendapat hidayah dan petunjukNya.

Saturday, 26 January 2013

Qada' Solat

Sebagai seorang Muslim kita semua tahu bahawa solat itu merupakan kewajipan yang Allah suruh seperti mana yang terdapat di dalam rukun Islam yang ke2. Selama kita hidup pernah tak kita tinggal solat? Kita manusia akhir zaman yang lemah imannya, sering kali lalai dalam kewajiban yang Allah suruh. Mungkin kita adalah dalam golongan orang yang pernah tinggal solat baik sengaja ataupun tidak sengaja. Sekarang rasa menyesal itu mungkin mula dirasai oleh kita semua disebabkan dahulunya jahil tentang agama dan sering tinggal solat walaupun sudah baligh dulu.

Alhamdulillah hari ini Allah masih lagi hidupkan kita, mungkin Dia tahu banyaknya dosa kita dan mahu memberi ruang kepada kita untuk bertaubat. Selagi ajal belum tiba eloklah kita semua qada solat kita yang kita tinggal dulu. Puasa yang ditinggalkan kena ganti, hutang dengan manusia pun kita kena bayar inikan hutang kita dengan Allah. Ok, apa yang mesti kita tahu tentang cara atau bagai mana mahu qada’ solat?

Ada pendapat yang mengatakan hanya perlu qada solat yang ditinggalkan kerana tidak sengaja terlupa atau tertidur dan tidak perlu qada solat yang sengaja ditinggalkan. Misalnya sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja kerana lalai semasa “muda-muda dulu”. Mereka mengatakan cukup dengan istighfar dan bertaubat sahaja. Sebenarnya pendapat ini tidak tepat kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menqada solat yang ditinggalkan walaupun Baginda tidak tertidur atau terlupa.

Tidak ada qada dalam solat bukan bermaksud tidak perlu qada tapi tidak perlu sebut perkataan qadha semasa niat. Qadha ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya dan tunai ialah melakukan sesuatu ibadah di dalam waktunya. Secara mudahnya tunai “waktu Allah”, qadha “waktu kita”

Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Apabila Rasulullah s.a.w. lupa solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (Muslim)

Cara niat Qada bagi solat fardu lima waktu pula ialah:
1. Solat Subuh:
“Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”
 
2. Solat Zuhur:
“Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala”
 
3.Solat Asar:
“Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta'ala

4. Solat Maghrib:
“Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

5. Solat Isyak:
“Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala”

Ada orang bertanya : Jika kita tertinggal solat (sengaja dan tidak sengaja) sejak akhil baligh sehingga sekarang (20-an; banyak waktu), perlukah di qada semua jumlah solat yang tertinggal itu atau cukup dengan melakukan solat taubat?

Jawabnya, Wajib qada solat yang telah tertinggal. Disini ada dua cara untuk qada, pertama jika seseorang yang tahu sebanyak mana dia telah tinggalkan solat fardhunya, maka qadakanlah mengikut bilangan yang telah ditinggalkannya.

Cara kedua adalah bagi yang tidak tahu secara detail berapa banyak yang telah ditinggalkannya, yakni semenjak akil baligh, buatlah anggaran berapa banyak solat yang perlu diqada dan berhentilah jika sudah yakin solat itu sudah diqada kesemuanya. Cara yang terbaik adalah selepas selesai solat fardhu lakukan solat qada, buatlah berterusan begitu moga-moga diterima Allah.

Selain itu ada juga orang bertanya, jika ditakdirkan meninggal sebelum sempat mengqada semua solat itu (tetapi sudah buat solat taubat) bagaimana?

Soal jika meninggal sebelum sempat mengqada kesemua solat itu, semuanya bergantung pada Allah, akan tetapi jika kita telah benar2 insaf dan niat untuk qada kesemua solat dan telah melakukan solat taubat dengan bersungguh-sungguh dan juga mengikuti segala perintah Allah, insyaAllah akan diampuni dosa-dosanya. Untuk pengetahuan semua, qada solat fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tiada waktu larangan padanya. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua dalam mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

Wallahualam.

Thursday, 24 January 2013

Salam Maulidur Rasul


Salam Maulidur Rasul semua!
Hari ini hari yang mulia hari Khamis Bersamaan 12 Rabiulawal 1434 merupakan hari kekasih kita semua iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Serba sedikit tentang sejarah Maulidur Rasul:
Maulidur Rasul (Arab: kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin (Dari hadith riwayat Muslim, 8/25), 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah SWT akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Marilah sama-sama kita berselawat kepada baginda.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Allahumma Shalli ‘alaa Muhammad Wa ’aLaa Aali Muhammad

“Barangsiapa berselawat kepadaku di pagi hari 10 kali & di petang hari 10 kali,maka dia akan mendapat syafaatku di hari kiamat.”(HR.Tabrani)

“Berselawatlah kamu kepadaku kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa & pembersih dosa) bagimu.” (HR.Ibnu Murdawaih)

Lagu yang mengingatkan kita kepada perjuangan dan pengorbanan baginda dalam menegakkan Islam di dunia ini sering membuatkan hati aku tersentuh kala mendengarnya. Lagu nasyid ini dari Hijjaz bertajuk Rasulullah.

Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuri lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umat mu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlak mu
Tidak terbalas segala jasa mu
Sesungguhnya engkau Rasul mulia

Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir nama mu di dalam Al-Quran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajah mu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnah mu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan Rasul sebagai pembela

Tuesday, 22 January 2013

Yang menilai itu Allah, bukan manusia


Bila seseorang yang berkata tidak baik tentang kita, apa yang kita rasa? Mesti kita akan terluka, terasa, sakit, merana atau menderita.

Tapi, cuba fikir satu persatu.

Adakah apa yang mereka katakan itu seratus peratus benar tentang kita? Enak sangatkah 'cerita' mereka itu sehingga orang lain akan mempercayainya membuta tuli? Sejauh mana kebenaran dalam kata-kata yang tidak baik itu terhadap kita? Rasa-rasa, sampai bila orang-orang sebegitu akan bertahan untuk terus dan terus memperkatakan tentang kita? Mereka itu tiada salah ke sehingga asyik melihat salah orang lain?

"Orang yang sibuk mencela orang lain akan mengabaikan usaha memperbaiki dirinya, sebab dia menganggap dirinya sudah sempurna dan lebih baik daripada orang lain"

Sering dikatakan bahawa lidah manusia itu tidak bertulang. Lidah memang tampak begitu lembut. Tetapi sewaktu kata-kata keluar darinya, ia boleh menjadi lebih tajam daripada mata pedang. Menusuk telinga yang mendengarnya, menikan jiwa hingga 'berdarah' dan terluka kerananya. Bukankah demikian?

Kalau kita tidak melakukan sesuatu yang salah dan selagi kita berada pada jalan yang betul dan benar, jangan biarkan diri kita terganggu oleh hinaan orang. Jangan sekali-kali takut terhadap celaan orang yang suka mengumpat. Jangan jadi susah hati kerananya. Kita tidak perlu membalas celaan itu. Sibukkan sahaja diri dengan melakukan amal kebaikan. Akan tiba waktunya nanti, mereka yang mengumpat itu akan berhenti sendiri dan menyedari kebodohan mereka.

Mengumpat orang lain merupakan aktiviti yang tidak berguna dan tidak menjadikan hidup seseorang lebih mudah atau berjaya. Apa yang mereka dapat dengan mengumpat? Kepuasan mungkin? Orang yang dihina juga tidak seharusnya berasa terhina atau kalah. Kemuliaan dan kehinaan itu bersumber daripada Allah, bukan dari sisi manusia. Apalah sangat PANDANGAN orang jika hendak dibandingkan dengan pandangan Allah?

"Wahai orang-orang beriman! Janganlah sesuatu kaum (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kaum lelaki yang lain, (kerana) mungkin kaum yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu kaum daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kaum perempuan yang lain, (kerana) mungkin kaum yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka".
(Al-Hujurat 49: 11)

Mereka itu adalah manusia. Manusia adalah hamba Allah. Tiada satu manusia pun yang sempurna melainkan Baginda SAW. Manusia ini sering diliputi dosa sama ada disedari atau tidak disedari, disengajakan atau tidak sengaja. Dan setiap manusia itu memang ada kekurangan dan kelemahan. Begitu juga dengan kelebihan.

Tapi, kekurangan itu perlu dibaiki. Kelebihan itu perlu disyukuri. Ingat sentiasa bahawa kekurangan manusia perlu kita terima. Kerana apa? Kerana kita manusia. Kita semua adalah sama. Taraf kita sama. Takkan melebihi sesiapa. Terima kekurangan itu. Jalan terbaik adalah berdiam diri. Dan doakan mereka-mereka itu. Semoga Allah melimpahi nur dan hidayahNya untuk mengupgrade kekurangan tersebut ke arah kebaikan.

Itu kisah 'mereka yang lain.' Kisah kita? Kita yang menghadapi kata-kata tidak baik itu, bagaimana pula?

Muhasabah diri semula.

Apa yang kita buat selama kita hidup ini, sebab orang-orang yang berkata itu ke?
Atau sebenarnya, kita buat sesuatu itu kerana Allah semata-mata?
Hidup kita ini berpaksikan kepada siapa sebenarnya? Allah atau manusia?
Kita ini ingin dapatkan redha Allah atau redha manusia?
Kalau kita nak berubah sesuatu ke arah kebaikan, kita perlu minta kekuatan dari Allah atau hamba Allah?
Niat kita sepanjang hidup ini adalah apa? Think deeply.

Allah yang mencipta kita. DIA yang menghidupkan roh kita. DIA yang berkuasa atas sesuatu. DIA Pemilik Kerajaan Langit dan Bumi. DIA adalah Tuhan kita. Hanya DIA yang layak disembah. Jadi, alasan apa yang kita ingin gunakan untuk melakukan sesuatu tanpa berniatkan Lillahi Ta'ala?

Inna a'malu binniat - Sesungguhnya, segalanya bergantung kepada niat. Apa yang kita lakukan hendaklah dipasang dengan niat kerana Allah. Apa-apapun, yang pertama tetap Allah.

"Kenapa perlu kecewa apabila ada orang negatif dengan kita? Apakah kita bekerja kerana mereka?" - Hilal Asyraf

Apa yang kita dapat melalui kata-kata penulis terkenal ini? Fikir, tanya hati kita sendiri. Tujukan persoalan itu terhadap diri kita sendiri. Hidup kita ini perlu sentiasa bermuhasabah. Fikir, fikir dan fikirkan sesuatu itu secara positif dan berhikmah.

Pujuklah hati. Jangan biarkan hati itu terus merana kerana kata-kata tidak baik dari mereka. Sabarlah. Allah itu bersama orang-orang yang sabar. Setiap satu yang berlaku pasti ada hikmah. Hikmah itu rahsia DIA. Kita mencari dan menanti dengan doa. Sesungguhnya, doa itu senjata mukmin.

Ingatlah.

Kita lebih tahu siapa diri kita. Mereka tidak.
Kita lebih faham diri kita. Mereka tidak.
Kita lebih kenal diri kita. Mereka tidak.

Dan yang paling penting, Allah itu lebih memahami kita. DIA faham kita lebih daripada apa yang kita faham tentang diri kita. Jadi, perlukah kita putus asa atas rahmat Allah? Allah itu ada. Jangan sia-siakan kewujudan Tuhan Yang Maha Adil itu. Kita hamba DIA. Serahkanlah diri padaNya. DIA Pengubat Kelemahan. DIA jugalah Pemberi Kegembiraan. Ketenangan itu ada pada DIA. Perlukah kita untuk tidak mencari?

"If Allah is your friend, who dares to be your enemy?" Pujuklah hati kita dengan mengatakan "Allah kan ada!"

Wallahualam.

Wednesday, 9 January 2013

Tafsir Cinta


Cinta datang tanpa diundang. Naluri ataupun perasaan cinta sudah lama wujud dalam diri seseorang, kerana cinta itu adalah fitrah semula jadi manusia. Setiap manusia memiliki fitrah untuk mencintai dan dicintai, tetapi cinta itu hendaklah dibina atas dasar keimanan agar ia tidak akan menjadi fitnah.

Perasaan cinta itu tidak salah kerana ia adalah anugerah Allah. Kita hendaklah memeliharanya dari menjadi fitnah duniawi. Sering kita dengar bahawa cinta antara lelaki dan perempuan ajnabi itu akan halal selepas selesainya akad nikah. Ramai yang mengakuinya, namun ramai juga yang mengendahkannya.

Cinta itu begitu indah apabila dihayati dengan aturan islam. Diri ini sering tertanya-tanya, adakah dengan 'bercouple' itu lengkaplah kebahagian kehidupan ini? Persoalan mula timbul apabila melihat ramai kawan-kawan terdekat 'bercouple'. Amalan 'couple' ini adalah amalan orang-orang barat yang dicipta oleh kaum Yahudi dan Nasrani untuk merosakkan umat kita pada masa kini. Malah amalan ini juga boleh membawa kepada penzinaan. Nauzubillah.

Benarkah cinta itu wujub apabila kita mempunyai pasangan kekasih yang selalu bertanya khabar, ber-sms, chatting dalam facebook, skype, berdating berdua-dua untuk melepaskan rindu atau bergayut di telefon dengan menggunakan nada yang manja? Kemanakah hala tuju perhubungan itu? Adakah direstui keluarga atau persoalan yang lebih besar lagi perhubungan itu diredhai oleh Allah? Adakah semua ini dinamakan CINTA?

Persoalan ini sering berlegar di mindaku tanpa ada noktah jawapannya. Astgahfirullahalazim, bermuhasabahlah teman-teman, moga diri kita tidak tergolong dalam kalangan hamba yang lalai dengan cinta duniawi ini. Berdasarkan pemerhatian, aku sering melihat dan mendengar pelbagai karenah rakan-rakan yang bercouple ini. Contohnya, mereka menghabiskan banyak masa bersama kekasih dan mendengar kata-kata manis dengan suara yang sengaja dimanjakan serta dilembutkan. Bukankah suara itu juga sebahagian daripada aurat kita?

Allah S.W.T berfirman,

"...Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."
(Surah al-Ahzaab, ayat 32)

Mengapa perlu diucap perkataan sayang, rindu, cinta kepada seseorang yang BUKAN HALAL bagi kita? Simpanlah kata-kata manismu untuk si dia yang halal bagimu dan bukan kepada yang membawa kamu ke jalan kemaksiatan.

Apabila ditanyakan persoalan tentang perkahwinan, selalunya mereka yang bercouple terdiam sepi kerana tiada jawapan. Ada juga yang memberikan banyak alasan seperti 'masa belum tiba lagi', 'muda lagi la nak kahwin, nak kerja dulu baru la nak kahwin', 'family tak bagi kahwin lagi', 'alaa tak cukup duit lagi la', dan pelbagai lagi. Pandangan saya sebagai seorang remaja yang hidup di era ini tentang cinta memang jauh ketinggalan. Tidak salah berkahwin pada usia muda. Bukankah lebih elok jika dipercepatkan perkahwinan? Rasulullah SAW bersabda: "Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Tetapi INGAT, sebelum membuat apa-apa keputusan besar dalam hidup kita, istikarahlah kepada Allah terlebih dahulu. Pohon kepadaNya supaya keputusan yang bakal diambil adalah petunjuk dariNya, bukan atas hawa nafsu mahupun bisikan syaitan. Jika benar 'dia' layak untuk kita, jangan berhenti memohon supaya Allah mempermudahkan jalan itu. InsyaAllah, Dia Maha Mendengar.

Benarkah apabila selalu keluar bersama kita akan dapat mengenali pasangan dengan lebih baik atau sekadar untuk mendapat perhatian dan keseronokan dunia? Atau pasangan dijadikan tempat untuk mengadu segala masalah? Bukankah Allah itu tempat terbaik untuk berbicara dari hati ke hati? Ayat-ayat cintaNya itulah penawar duka lara kita ketika susah senang dan dapat mententeramkan hati kita. Cara untuk mendapat ketenangan hati bukannya dengan mengadu kepada 'couple' kita, tapi dengan mengadu kepada Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Berkuasa, kekasih hati yang hakiki.

Allah S.W.T berfirman,

"...Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan tenang."
(Surah ar-Raad, ayat 28)

Kadang-kadang terdengar ramai lelaki mengatakan perempuan yang tidak melayan ajakan maksiat mereka itu sombong. Kenapa boleh berkata begitu? Apabila si perempuan yang tidak membalas teguran dan ajakan untuk 'berkenalan', itu bukannya sombong, tapi itu adalah untuk menjaga diri. Sedarlah lelaki diluar sana, jika anda mahu ibu kepada anak-anak anda baik, maka jadikanlah diri anda baik dahulu. Jika ingin dihormati, hormatilah pasangan yang bakal anda nikahi terlebih dahulu.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang sering kita dengari yang bermaksud,

"Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."(Surah an-Nur, ayat 26)

Yakinlah dengan janjiNya untuk pertemuan dengan si HALAL bagi menyempurnakan kasih sayang di muka bumi ini. Masa dan waktu menentukan segalanya berserta doa yang sering dipanjatkan kepadaNya. Jagalah cinta kalian untuk yang halal sahaja. InsyaAllah, masa itu akan tiba.