Monday, 3 December 2012

Dunya is 'nothing'

Semakin kau dewasa, semakin jelas pandanganmu pada dunia. Yang mendekatkan diri dengan Agama, akan nampak Dunia ini 'tiada apa-apa'.

Benar, dunia ini 'tiada apa-apa' sebenarnya. Dalamilah agama sedalam-dalamnya. Aku pasti kamu semua akan bersependapat denganku dan tersedar dari keasyikan dunia yang tak memberi apa-apa pun. Di sini kita sebagai hamba Allah perlu menyerahkan segalanya hanya pada Allah SWT. Kita hidup untuk mencari hidup yang sempurna untuk dibawa bekalan buat hidup yang sebenar-benarnya iaitu di akhirat kelak, hidup yang kekal abadi. Kita semua diberi pilihan samada ke Syurga atau Neraka. Aku jamin semua orang pasti ingin menuju ke Syurga. Tetapi tanya pada diri dulu, 'Adakah aku layak ke SyurgaNya?'.

Semakin hari meniti masa dan semakin umur kita meningkat tua, kita lupa kematian semakin dekat dengan kita. Kematian itu tidak mengira umur, tidak mengira siapakah kita, tidak dipandangnya pangkat atau darjat seseorang, bila tiba masanya akan kita kembali jua kepadaNya. Tetapi mengapa segelintir manusia sekarang ini berkelakuan ibarat akan hidup selama-lamanya? Mereka tidak memikirkan tentang kematian bahkan tidak takut dengan kematian yang semakin hampir. Mereka mengatakan mereka takut akan Tuhan tetapi masih tidak bertindak seperti apa yang dikatakan. Katanya benci akan syaitan tetapi masih menurutinya. Sangat aneh tetapi inilah kenyataan.

Sudah ramai tertipu dengan duniawi. Mereka terlalu taksub mengejar kemewahan, populariti sampai lupa yang diri akan menghadapi kematian kelak. Segalanya akan ditinggalkan disini kerana itu semua milik Allah Azza Wa Jalla. Tidak usahlah mendabik dada dan bangga dengan harta benda yang dipinjam. Esok-esok Allah ambil balik semuanya kembali. Kehilangan orang atau harta yang sayangi mempunyai hikmah. Allah nak kita tahu yang semuanya milikNya. Allah nak kita belajar untuk meletakkan kebergantungan hanya padaNya bukan manusia atau benda lain. Apapun tidak boleh membahagiakan kita selain dari Allah kerana yang memberikan kita kebahagiaan itu datangnya daripada Allah SWT.

Ramai yang aku kenal dan lihat hebat, kaya, berharta dan ternama tetapi jiwanya MISKIN kerana kebergantungannya pada manusia,bukan pada Pencipta..- Dr Anwar Fazal.

Perbanyakkanlah membaca buku agama, tengok ceramah agama di tv, dan baca artikel di internet seperti iluvislam.com sudah pasti banyak memberikan ilmu agama yang bakal menyedarkan kita akan kehidupan yang sebenarnya. Bukannya susah pun nak belajar agama. Sumbernya mudah didapati dan sangat banyak cuma antara nak atau tidak. "Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih". 

No comments:

Post a Comment