Tuesday, 2 October 2012

Menguji ketulusan hati

Manusia mudah lalai, mudah saja tergoda dengan iblis laknatullah, dan manusia juga mudah lupa kerana manusia makhluk Allah Azza wa Jalla yang lemah. Hati manusia perlu sentiasa dijaga kerana itulah punca diatas segala jasad dalam diri manusia. Jauhkan perkara yang dilarang dan tingkatkan beribadah kepada Allah S.W.T dengan penuh ketulusan hati. Juga jauhkan sifat penyakit hati iaitu hasad dengki, riak, takkabur dan dendam kerana sifat sedemikian mematikan hati. Hati yang mati menyebabkan lalai dari mengingati Allah S.W.T, lebih kasihkan dunia dari akhirat dan banyak berbuat maksiat. Tanda hati mati juga ialah seseorang itu tidak merasa bersalah dan menyesal sedikitpun setelah melakukan dosa dunia. Nauzubillah.

Hati yang ikhlas ialah hatinya sentiasa mengingati Allah di atas setiap tindak tanduknya yang dilakukan. Rasulullah S.A.W bertanya kepada iblis laknatullah, 'Siapakah orang yang ikhlas menurutmu wahai Iblis?'. Makhluk terlaknat ini menjawab, 'Bukankah kau telah mengetahui wahai Muhammad, bahawa barang siapa yang menyukai emas dan perak, dia bukan orang yang ikhlas. Jika kau lihat orang yang tidak menyukai dinar dan dirham, tidak suka pujian dan sanjungan, aku dapat pastikan bahawa dia orang yang ikhlas, maka aku meninggalkannya. Selama seorang hamba masih menyukai harta dan sanjungan serta hatinya masih terlalu terikat dengan kesenangan dunia, dia sangat patuh padaku.'

Bersihkan hati dengan zikir-zikir Allah serta segera bertaubat dan selalu memperbaharui taubat kepada Allah S.W.T. Iblis takut untuk mendekati manusia yang selalu berzikir mengingati Allah dan gagal untuk memasuki hati yang bersih. Ini adalah tip yang mudah untuk membersihkan hati selain dari solat 5 waktu dan berzikir. Antaranya ialah:

1. Bersyukur dengan kurniaan Tuhan
2. Beribadat dengan benar dan seikhlas hati
3. Berakhlak baik
4. Menimba ilmu tanpa henti
5. Bekerja keras cara bijak
6. Bersederhana dalam hidup
7. Ringan tangan membantu sesiapa sahaja
8. Memaafkan orang lain

Rasulullah S.A.W mengajar kita berdoa untuk menyelamatkan diri daripada bisikan jahat Iblis, "Wahai Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari Api Neraka". Juga berdoa, "Maha Suci Engkau, Ya Allah, aku memujiMu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, aku minta ampun dan bertaubat kepadaMu".

"Manusia yang tidak mematuhi perintah Allah dan nabiNya, adalah manusia yang menganiaya dan menzalimi dirinya sendiri. Manusia yang melanggar syariat Islam, pada hakikatnya, menciptakan kesengsaraan bagi dirinya sendiri."

Tanda-tanda hati ikhlas
1. Takut kepada kemasyhuran-takut terselit perasaan riak, sombong dan takkabur.
2. Curiga terhadap diri sendiri-bimbang tidak mampu menunaikan kewajipan.
3. Beramal di tempat yang sunyi.
4. Tidak mencari pujian dan tidak tertipu dengannya.
5. Tidak kikir memuji mereka yang berhak dipuji.
6. Sentiasa istiqamah dalam melakukan ibadat
7. Mengadakan perayaan dengan mengharap redha Allah SWT bukan redha manusia.
8. Suka dan benci kepada sesuatu kerana Allah SWT.
9. Sabar di atas dugaan dan ujian dalam perjalanan menuju Allah SWT.
10. Gembira dalam melakukan ibadat tanpa perasaan disaingi atau dipaksa.

No comments:

Post a Comment